FAMA Agro TV
Berita

“FRONTLINERS” DI PUSAT PEMBERIAN VAKSIN MITEC & HOSPITAL SUNGAI BULOH DAPAT SUMBANGAN MAFI PRIHATIN

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyerahkan bantuan MAFI Prihatin kepada 300 barisan petugas hadapan (frontliners) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) hari ini.
Penyerahan bantuan MAFI Prihatin disampaikan oleh YB Datuk Seri Haji Ahmad Bin Hamzah, Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Makanan I, MAFI kepada Puan Mala Dorasamy, Ketua Pegawai Eksekutif MITEC. Turut hadir, Datuk Zainal Abidin bin Yang Razalli, Ketua Pengarah FAMA, Dr. Nurul Ashikin Binti Shokri, Pengurus PPV MITEC dan En. Mohd Zaki Bin Mat Noor, Ketua Penyelaras PPV MITEC.
Sumbangan berbentuk hasil pertanian seperti sayur-sayuran dan buah-buahan ini merupakan kesinambungan program MAFI Prihatin yang bertujuan membantu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat Covid-19.
Terdahulu, sebanyak 1,400 sumbangan MAFI Prihatin turut diserahkan di Hospital Sungai Buloh kepada frontliners.
Ahmad berkata, sejak pelaksanaan MAFI Prihatin pada 27 Mei lalu sehingga 3 Julai 2021, seramai 19,572 orang telah menerima manfaat yang terdiri daripada frontliners, badan kebajikan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di 78 lokasi seluruh negara dengan jumlah keseluruhan sebanyak 37 metrik tan makanan telah disalurkan.
FAMA melalui MAFI Prihatin juga telah membantu 419 usahawan tani dalam memasarkan 38 jenis hasilan pertanian dan produk mereka yang mengalami kesukaran dalam menjalankan aktiviti pemasaran semasa tempoh pelaksanaan PKP ‘Total Lockdown’. FAMA bertindak memberikan khidmat nasihat kepada petani untuk menyertai program Ladang Kontrak 2.0 MAFI atau menghubungi FAMA sekiranya masalah sama berulang dan pengaturan pasaran di outlet pemasaran FAMA.
Apabila berlakunya lebihan bekalan hasil pertanian usahawan tani akan disalurkan kepada yang memerlukan melalui khidmat dan pengaturan pasaran yang dilaksanakan oleh FAMA.
Ahmad juga berkata, selain daripada pelaksanaan program MAFI Prihatin, bagi memastikan kelancaran dan kelangsungan rantaian bekalan serta pemasaran makanan, MAFI melalui FAMA juga telah mewujudkan 45 buah Pasar Segar Terkawal (PST) yang melibatkan seramai 2,154 usahawan tani di seluruh negara. Bagi tempoh 1 Jun – 3 Julai 2021, PST telah berjaya mencatatkan nilai jualan sebanyak RM42.25 juta.
Sehingga 3 Julai 2021, FAMA telah mengeluarkan sebanyak 15,303 surat kebenaran keterlibatan dalam sektor pertanian tidak formal (informal) termasuk aktiviti rantaian pembekalan dan pemasaran berkaitan keperluan makanan kepada usahawan tani. Manakala, sektor pertanian formal yang melibatkan syarikat pengilangan, pengeluar produk atau industri makanan perlu terus mendapatkan kebenaran beroperasi melalui COVID-19 Intelligent Management System (CIMS 3.0) di bawah seliaan MITI.
Bagi memastikan kelancaran aktiviti pemasaran hasil pertanian semasa tempoh pelaksanaan PKP Total Lockdown Fasa Pertama ini, FAMA telah mewujudkan Bilik Gerakan (Crisis Management Centre) yang beroperasi pada pukul 8 pagi hingga 7 malam.
Ini bagi membantu para petani yang menghadapi masalah memasarkan hasil pertanian mereka dengan melayari portal FAMA Feedback System (http://ffs.fama.gov.my/aduan/index.php) atau menghubungi talian hotline FAMA di 019-7476754/013-3777100/010-7632684.

Popular

300 Frontliner di Pusat Pemberian Vaksin Mega WTC KL terima sumbangan MAFI Prihatin melalui FAMA.

Editor FAMA

KHIDMAT PEMASARAN FAMA TERUS BANTU PETANI!!

Editor FAMA

MAFI Prihatin Melaka

Editor FAMA