Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu hari ini merasmikan Majlis Prapelancaran Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) Tahun 2025.
Majlis ini membuka tirai kepada kiraan detik 50 hari menjelang HPPNK 2025 yang akan diadakan pada 1 hingga 3 Ogos bertempat di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu, Sabah dan akan dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri.
Pada tahun ini, sambutan HPPNK diraikan dengan lebih istimewa bersempena ulang tahun jubli emas yang menandakan 50 tahun penganjurannya sejak mula diperkenalkan pada tahun 1975.
HPPNK merupakan acara berprestij anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersama Jabatan dan Agensi di bawahnya yang akan menghimpunkan warga peladang, penternak dan nelayan dari seluruh negara bagi meraikan sumbangan mereka dalam memastikan kecukupan dan keterjaminan makanan serta memacu pembangunan sektor agro makanan negara.
Sambutan HPPNK pada kali ini mengangkat tema βKudrat Kami Menjamin Pertiwiβ yang menggambarkan semangat dan tanggungjawab para peladang, penternak dan nelayan dalam sektor pertanian, penternakan, dan perikanan negara dalam memastikan keselamatan makanan negara untuk kesejahteraan rakyat.
Terdapat 18 segmen dalam empat (4) fokus utama dalam sambutan HPPNK edisi kali ini iaitu Agro Millenia, Cukup dan Terjamin, Sejahtera MADANI dan Jualan dan Keusahwanan. Agro Millenia memberi tumpuan kepada penglibatan belia dalam sektor agroteknologi. Segmen Cukup dan Terjamin menekankan inovasi demi memastikan bekalan makanan negara kekal mampan dan berdaya tahan. Seterusnya, Sejahtera MADANI membawa mesej kemampanan, hormat dan kesejahteraan sejajar dengan nilai MADANI manakala Jualan dan Keusahawanan pula menonjolkan identiti KPKM melalui pendekatan Agro MADANI yang berteraskan kesejahteraan dan ehsan.
Turut hadir Ketua Setiausaha KPKM, YBhg. Datuk Seri Isham Ishak; Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), YBhg. Datoβ Wira Haji Mahfuz Haji Omar; wakil Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI); Ketua-ketua Pengarah; Setiausaha-setiausaha Bahagian, serta Pegawai-pegawai kanan KPKM.