MELAKA: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan untuk mengeksport kira-kira 300 tan metrik ayam proses setahun dari Semenanjung ke Sabah dengan anggaran pembelian RM3 juta.
Pengerusinya Aminuddin Zulkipli berkata buat permulaan, FAMA mengeksport sebanyak 12 tan metrik ayam proses dengan anggaran nilai RM110,000 menerusi penghantaran pertama yang berlepas pada Rabu.
Beliau berkata inisiatif itu bagi menampung keperluan penduduk Sabah yang ketika ini mendapatkan bekalan ayam proses import dari Thailand dan China.
“Selain itu, inisiatif ini dilakukan selaras dengan pindaan Akta 141 FAMA 1965 yang membenarkan agensi ini mengurus pemasaran produk ternakan sekali gus membuka peluang lebih luas kepada FAMA memasarkan produk pertanian dan ternakan.
“Ia juga bertujuan membantu penternak dan usahawan tani memasarkan produk mereka dengan cara yang lebih berkesan,“ katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Pelepasan Penghantaran Ayam Proses Ke Pasaran Sabah di Pejabat FAMA Melaka di sini semalam.