FAMA TV
Berita

Berita Ringkas FAMA 23 Disember 2022

FAMA PROAKTIF MEMASTIKAN KETERJAMINAN MAKANAN NEGARA
SELAYANG, 23 Disember 2022 – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sedang mengambil langkah proaktif meningkatkan pemasaran agromakanan negara khususnya pengedaran komoditi telur ayam bagi keperluan pasaran domestik menerusi kerjasama jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS).
Langkah agresif itu digembleng FAMA bagi memenuhi permintaan tinggi terhadap komoditi berkenaan di samping mengurangkan rungutan pengguna yang berhadapan kesukaran untuk mendapatkan bekalan.
Bagi menampung bekalan telur ayam di pasaran, sejumlah 1.326 juta papan atau 39.78 juta biji telur akan diagihkan secara meluas ke seluruh negara melalui 534 outlet peruncitan FAMA disepanjang Januari hingga Jun tahun 2023. Bermula akhir November sehingga 22 Disember 2022, sebanyak 87,300 papan atau 2.619 juta biji telur ayam telah diedarkan secara langsung ke seluruh negara.
YBhg. Dato’ Haslina binti Abdul Hamid, Ketua Setiausaha MAFS berkata, ”FAMA akan memastikan ketersediaan bekalan agromakanan seperti telur ayam ini akan mudah diperolehi oleh pengguna melalui rangkaian outlet peruncitan FAMA seperti di Pasar Tani, Agrobazaar Rakyat dan lain-lain.”
Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Pelan Analisis Komprehensif Antirasuah (PAKAR) FAMA 2023-2027 yang berlangsung di ibu pejabat FAMA.
PAKAR FAMA 2023-2027 adalah merupakan dokumen antirasuah di peringkat organisasi yang merupakan kesinambungan daripada Pelan Antirasuah Nasional (NACP) yang dirangka secara khusus bagi mengatasi risiko melibatkan rasuah, tadbir urus dan integriti di FAMA. Bagi memantapkan pelaksanaannya, pelan ini akan ditambahbaik dari semasa ke semasa supaya bersesuaian dengan peredaran masa dan peraturan yang berkuatkuasa.

Pelan ini juga menggariskan beberapa strategi dan objektif strategik yang dimanifestasikan dalam bentuk inisiatif bagi mencapai visi pelan ini iaitu ke arah FAMA bebas rasuah.
Terdahulu, Haslina turut melawat program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) yang diadakan di perkarangan ibu pejabat FAMA.
Turut hadir, Encik Jamil Derus bin Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah NADMA, Bahagian Perancangan dan Persediaan Bencana (Dasar) dan YBhg. Dato’ Zainal Abidin bin Yang Razalli, Ketua Pengarah FAMA.
JTDL di perkarangan ibu pejabat FAMA ini akan diadakan di setiap hari jumaat pada minggu akhir setiap bulan bagi memberi peluang kepada penduduk setempat untuk mendapatkan barangan agromakanan seperti sayur-sayuran,buah-buahan,ikan, ayam segar dan lain-lain.
Pencapaian JTDL (Jan-Dis) 2022, nilai jualan keseluruhan telah mencatat RM16.29 juta dengan melibatkan seramai 7,586 orang usahawan di 1,031 lokasi seluruh negara dan RM1.6 juta nilai penjimatan direkodkan.
Minggu lepas, MAFS membawa masuk telur ayam dari negara luar untuk menampung kekurangan bekalan telur yang sedang dihadapi oleh negara sejak beberapa bulan yang lalu.
MAFS telah membenarkan kemasukan telur ayam dari negara India melalui laluan udara sebagai fasa percubaan bagi memastikan telur ayam yang diimport menepati segala piawaian yang ditetapkan.
Inisiatif membawa masuk telur ayam dari sumber luar bukanlah untuk menekan pengusaha industri telur ayam tempatan, sebaliknya bagi memastikan kecukupan bekalan telur ayam dalam negara dengan harga yang kompetitif selaras dengan hasrat Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mengutamakan kebajikan rakyat.
FAMA telah dilantik dan diberi tanggunggjawab sebagai penyedia kit makanan monsun timur laut (MTL) kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk disalurkan ke seluruh negara apabila berlaku sesuatu bencana. MAFS melalui FAMA membekalkan sebanyak 62,500 kit makanan MTL kepada NADMA yang akan diberikan kepada mangsa yang terlibat dalam banjir.
FAMA diberi kepercayaan oleh NADMA untuk membekalkan kit makanan sejak tahun 2015 hingga kini. Satu persetujuan telah dimeterai secara dasarnya supaya FAMA menyediakan 62,500 kit makanan.

Melangkah ke hadapan, selaras dengan Kerangka Kerja Sendai untuk Pengurangan Risiko Bencana Tahun 2015-2030 (Sendai Framework for Disaster Risk Reduction) yang disepakati oleh 187 negara, menekankan bahawa pengurangan risiko bencana merupakan tanggungjawab yang perlu dikongsi bersama dengan semua pihak berkepentingan, membudayakan latihan secara bersepadu, terencana dan berkesinambungan.
Dalam hal ini, usaha MAFS melalui FAMA dalam melaksanakan CDERT adalah bertepatan dan dilihat bahawa tugas serta tanggungjawab dalam menghadapi bencana tidak hanya terletak kepada pasukan penguatkuasa semata-mata.

Popular

MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN KPKM 2024

FamaTV Systems

Sesi libat urus SSPA kakitangan FAMA

FamaTV Systems

FAMA sasar eksport 300 tan metrik ayam proses ke Sabah setahun

FamaTV Systems

Leave a Comment