FAMA TV
Berita

Perasmian Kilang Pemprosesan IItik

Majlis Perasmian Kilang Pemprosesan Itik CKF Duck Food Industry Sdn. Bhd. telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Faisal Iswardi bin Ismail, Ketua Pengarah FAMA, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan kerjasama antara FAMA dengan pemain industri agromakanan, khususnya dalam sektor pemprosesan dan pemasaran hasil ternakan tempatan.
Turut hadir, YBrs. Puan Siti Nurul Haida binti Ibrahim, Pengarah FAMA Negeri Sembilan, barisan Pengurusan Kanan serta pegawai-pegawai FAMA Ibu Pejabat dan FAMA Negeri Sembilan.
CKF Duck Food Industry Sdn. Bhd. merupakan sebuah syarikat yang terlibat dalam aktiviti pemprosesan itik pedaging serta pengeluaran dan pemasaran produk itik sejuk beku bagi memenuhi keperluan pasaran domestik. Ditubuhkan pada tahun 2015, syarikat ini mula mengoperasikan fasiliti pemprosesannya di Sendayan, Negeri Sembilan pada tahun 2025.
Beroperasi di atas kawasan seluas lima ekar, kilang ini mempunyai kapasiti pemprosesan sehingga 7,000 ekor itik sehari. Operasi syarikat turut disokong oleh rangkaian ladang ternakan itik jenis Muscovy atau itik serati di beberapa negeri termasuk Perak, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor bagi menyokong keperluan bekalan bahan mentah.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan dan taklimat korporat oleh YBrs. Encik Brian Chong, Pengarah Urusan CKF Duck Food Industry Sdn. Bhd. yang berkongsi latar belakang syarikat, perkembangan operasi, kapasiti pengeluaran serta perancangan pengembangan perniagaan pada masa hadapan.
Seterusnya, delegasi FAMA dibawa melawat fasiliti pemprosesan bagi melihat dengan lebih dekat keseluruhan proses pengeluaran produk itik sejuk beku yang merangkumi penyembelihan, pembersihan, penyejukan, penggredan, pembungkusan, pembekuan serta penyimpanan dalam persekitaran terkawal sebelum proses pengedaran kepada pasaran.
Dari aspek pematuhan dan jaminan kualiti, syarikat telah memperoleh Pensijilan Halal dan sedang dalam proses mendapatkan Pensijilan Veterinary Health Mark (VHM) daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS). Syarikat turut memaklumkan pelaksanaan standard keselamatan makanan dan pengurusan kualiti termasuk HACCP, GMP dan ISO 22000 bagi menyokong penghasilan produk yang berkualiti serta memenuhi keperluan pasaran.
Dalam usaha memperkukuh kedudukan perniagaan, syarikat turut merancang untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran serta mempelbagaikan rangkaian produk nilai tambah seperti itik panggang, itik salai dan produk sedia dimakan (ready-to-eat). Langkah ini dilihat berpotensi memperluas pilihan produk berasaskan itik, meningkatkan nilai komersial serta memenuhi permintaan pengguna yang semakin pelbagai.
Sehubungan itu, potensi kerjasama strategik antara FAMA dengan pihak syarikat turut diberi perhatian, khususnya dalam aspek pemasaran, promosi, pengedaran dan peluasan jaringan pasaran. Kerjasama ini juga berpotensi membuka ruang kepada penglibatan usahawan tempatan dalam rantaian pemasaran serta memperluas akses produk ke pasaran domestik dan antarabangsa berdasarkan keupayaan dan pematuhan syarat pasaran berkaitan.
Melalui peranan FAMA sebagai pemudah cara pemasaran, hubungan strategik bersama pemain industri seperti ini diharap dapat menyumbang kepada pengukuhan rantaian bekalan, peningkatan nilai tambah produk hasil ternakan serta memperluas peluang pasaran kepada pengusaha dan usahawan tempatan.
FAMA komited untuk terus memperkasa jaringan kerjasama industri, memperluas akses pasaran dan memacu pembangunan sektor agromakanan negara ke arah ekosistem pemasaran yang lebih berdaya saing dan mampan.

Popular

𝐅𝐀𝐌𝐀 𝐒𝐄𝐑𝐓𝐀𝐈 𝐅𝐎𝐎𝐃 𝐀𝐍𝐃 𝐃𝐑𝐈𝐍𝐊𝐒 𝐌𝐀𝐋𝐀𝐘𝐒𝐈𝐀 (𝐅𝐃𝐌) 𝐁𝐘 𝐒𝐈𝐀𝐋 𝟐𝟎𝟐𝟔

FamaTV Systems

Walkabout JAM Mega Perak

FamaTV Systems

Sesi Libat Urus Pelaksanaan Simulasi Jejak GPL

FamaTV Systems

Leave a Comment