FAMA TV
Berita

Hari Harta Intelek Negara 2026

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah mencatat satu lagi pencapaian membanggakan apabila berjaya meraih Pingat Gangsa bagi kategori Juara Jenama (Cap Dagangan) menerusi penjenamaan Malaysia’s Best dalam Anugerah Harta Intelek Negara 2026.
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh YB Datuk Armizan bin Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup kepada YBrs. Encik Abdul Rashid bin Bahri, Ketua Pengarah FAMA dalam majlis yang berlangsung dengan penuh gilang-gemilang.
Pencapaian ini membuktikan kejayaan FAMA dalam membangunkan dan memperkukuh penjenamaan Malaysia’s Best sebagai simbol keyakinan terhadap kualiti, keselamatan dan kebolehpasaran produk agromakanan tempatan yang memenuhi piawaian domestik serta antarabangsa.
Penjenamaan ini turut merangkumi kawalan kualiti menyeluruh bermula daripada peringkat ladang melalui pensijilan seperti myGAP, sehingga ke proses penggredan, pembungkusan dan pelabelan yang mematuhi piawaian ditetapkan, sekali gus meningkatkan daya saing produk tempatan di pasaran.
Selain itu, Malaysia’s Best juga memainkan peranan penting dalam memperluas akses pasaran eksport bagi komoditi bernilai tinggi seperti durian, nanas, nangka dan pelbagai hasil segar lain ke pasaran antarabangsa termasuk China, Eropah dan Timur Tengah.
Dalam masa yang sama, FAMA turut menerima Sijil Penghargaan AHIN 2026 dalam persaingan yang melibatkan 552 penyertaan dari seluruh negara, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan FAMA sebagai peneraju penjenamaan agromakanan negara.
Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen berterusan FAMA dalam memperkasa rantaian nilai agromakanan melalui strategi penjenamaan berimpak tinggi, di samping membantu meningkatkan pendapatan petani, pengeluar dan usahawan tempatan.
FAMA akan terus memperluas penggunaan jenama Malaysia’s Best sebagai platform utama dalam memperkukuh imej produk pertanian Malaysia di peringkat global, selaras dengan aspirasi negara ke arah sektor agromakanan yang berdaya saing dan mampan.
“ 𝐈𝐧𝐭𝐞𝐠𝐫𝐢𝐭𝐢 & 𝐈𝐧𝐤𝐥𝐮𝐬𝐢𝐯𝐢𝐭𝐢 : 𝐏𝐞𝐦𝐚𝐜𝐮 𝐊𝐞𝐣𝐚𝐲𝐚𝐚𝐧”

Popular

𝐅𝐀𝐌𝐀 𝐒𝐄𝐑𝐓𝐀𝐈 𝐅𝐎𝐎𝐃 𝐀𝐍𝐃 𝐃𝐑𝐈𝐍𝐊𝐒 𝐌𝐀𝐋𝐀𝐘𝐒𝐈𝐀 (𝐅𝐃𝐌) 𝐁𝐘 𝐒𝐈𝐀𝐋 𝟐𝟎𝟐𝟔

FamaTV Systems

Walkabout JAM Mega Perak

FamaTV Systems

Sesi Libat Urus Pelaksanaan Simulasi Jejak GPL

FamaTV Systems

Leave a Comment